Oct 13, 2012

"Akibat Layu Menghadap Buku, Rosak Seni Kerana Aku"

Bismillah. Matahari pagi Sabtu malu-malu menampakkan diri, penat melakukan tugas seperti seorang suri rumah, membasuh dan menyidai kain, mengemas bilik dan akhirnya mata mulai layu menatap Labsheet Analog Electronic I. Sambung tidur? Ahh, nafsu semata-mata! Lebih baik jari-jemari menulis di sini untuk menghilangkan rasa bosan hujung minggu tanpa roommate.

Lagaknya seperti seorang penulis terkenal hakikatnya aku seorang pelajar UMP bidang engineering yang kebosanan. Mungkin agak menjengkelkan dengan penggunaan bahasa namun kau siapa untuk mempersoalkan hak aku? Ahhh, persetankan itu semua! Aku hanya ingin berkongsi kegembiraan mempunyai rakan-rakan yang mampu bergelak tawa sedang aku tertekan menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar.

Rabu yang seperti biasa tanpa kelas. Memang sudah dirancang untuk keluar bersama teman-teman serumah. Destinasi yang dituju? Kemana lagi hendak dituju kalau bukan Bandar Pekan atau lebih terkenal dengan Bandar Di Raja. Memandang bangunan-bangunan lama masih tersergam indah membuatkan aku menyelami memori ketika di Lipis. Sama tapi tak serupa. Ahh, lupakan! Keluar bersama mereka di expo Pekan membeli 2,3 helai baju untuk ke kuliah. Perempuan semuanya begini, walaupun sudah banyak baju di dalam almari, masih tidak cukup! Mungkin inilah salah satu nafsu daripada 9 nafsu yang dikurniakan kepada kami kaum Hawa.

Selesai membeli belah di expo, menuju pula ke Restoran Ikar Bakar Ana Petai di Tanjung Lumpur yang sememangnya menjadi destinasi utama kami. Tiba di sana, pantai yang berhadapan restoran itu lebih senang meraikan kedatangan kami. Sememangnya pantai memang sinonim dengan keindahan dan ketenangan. Selalu mendengar perumpamaan "melekat seperti belangkas" namun selama 20 tahun hidup di muka bumi Tuhan, inilah kali pertama aku dapat melihat belangkas dengan pancaindera penglihatan ku. Ikan bakar? Ahh, terlupa sekejap. Perut yang mula minta diisi menggerakkan kaki melangkah ke restoran tetapi nasib tidak menyebelahi kami kerana ikan yang dicari untuk dijadikan ikan bakar sangat laris dan telah habis dijual. Tetap setia di restoran yang terkenal itu dengan menu sotong bakar, udang, ikan masak sambal, ikan stim.

Selesai menyempurnakan ibadah wajib solat Maghrib, makanan sudah terhidang. Suatu perasaan yang muncul apabila dapat menikmati juadah terhidang dengan teman-teman apabila perut sudah lama menanti sesuap nasi. Suasana yang mulanya kecoh untuk mendapatkan lauk ke pinggan masing-masing bertukar menjadi sunyi sepi menyuapkan nasi ke mulut. Alhamdulillah. Sesungguhnya, Allah SWT adalah zat Maha Pemberi Rezeki. Kekenyangan sehingga terlena dalam perjalanan pulang ke Ump. Inilah kisahnyaaaa...


P/s : This would be my first and last time. Sekadar mengisi kekosongan. 
        "Akibat layu menghadap buku, rosak seni kerana aku"

(Karya Anak Seni Nukilan Syafikah Khilid, 2012)